11 terbunuh akibat serangan Israel di selatan Lubnan, angka maut cecah 3,111

Serangan Israel di seluruh selatan Lubnan dari lewat Khamis hingga Jumaat membunuh sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk paramedik, penyelamat, dan seorang kanak-kanak, dan mencederakan beberapa yang lain, lapor Xinhua memetik sumber Lubnan.

Sebelum fajar Jumaat, empat orang paramedik terbunuh dalam serangan ke atas pusat kecemasan di pekan Hanouiyeh di daerah Tyre, menurut Xinhua memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.

Kemudian pada hari itu, serangan udara di persimpangan Deir Qanoun al-Nahr-Abbasiyeh di daerah Tyre membunuh enam orang, termasuk dua orang paramedik dari Persatuan Pengakap Risala Islam, yang sedang memindahkan mangsa daripada serangan sebelumnya. Mangsa yang terkorban juga termasuk seorang warga Lubnan dan tiga orang Syria, seorang daripada mereka seorang kanak-kanak, menurut Xinhua.

Di bandar Nabatieh, serangan dron yang menyasarkan sebuah trak pikap membunuh seorang dan mencederakan dua orang lagi, Xinhua memetik laporan tempatan.

Kementerian Kesihatan Awam Lubnan dilapor berkata, serangan Israel dekat sebuah hospital kerajaan di pekan Tebnine menyebabkan kerosakan teruk pada kemudahan itu dan mencederakan sembilan orang, termasuk tujuh kakitangan hospital, lima daripadanya wanita.

Menurut kementerian itu seperti dilaporkan, jumlah mangsa sejak 2 Mac mencecah 3,111 orang terbunuh dan 9,432 orang cedera.