Hebron

  • Bayi maut akibat cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan terhadap kenderaan keluarga di selatan Hebron

    Bayi berusia tujuh bulan, Sam Fahd Abu Haikal, meninggal dunia pada petang Jumaat akibat luka kritikal dialami selepas pasukan pendudukan Israel melepaskan tembakan ke atas kenderaan keluarganya di Hebron, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA).

    Kementerian Kesihatan berkata, bayi itu, ibu dan bapanya ditembak selepas pasukan pendudukan Israel melepaskan tembakan ke atas kenderaan mereka pada petang Jumaat di kawasan Tel Rumeida, selatan Hebron.

    Menurut WAFA, korespondennya melaporkan bahawa tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup ke arah kenderaan keluarga itu di kawasan kejiranan Wadi al-Hariya di Hebron, mencederakan bayi itu secara kritikal, yang kemudiannya meninggal dunia akibat lukanya. Ibu dan bapanya mengalami kecederaan sederhana.

    Bapa bayi itu, Fahd Abdul Aziz Abu Haikal, seorang pensyarah di Universiti Bethlehem, tinggal bersama isteri dan anak lelakinya di Bethlehem. Semasa keluarga itu dalam perjalanan untuk melawat rumah ibunya (nenek bayi itu) di kawasan kejiranan Tel Rumeida di tengah Hebron, askar Israel melepaskan tembakan langsung ke arah kenderaan mereka, mencederakan bapanya di tangan dan mencederakan ibunya dengan peluru yang sama yang kena rahang anak lelaki mereka, Sam.